Thursday, July 14, 2022

by Nor Ainun binti Mohd Nasir

 Pelaksanaan Kod Etika Profesionalisme Keguruan dan cabaran di Malaysia



Pelaksanaan Kod Etika Profesionalisme Keguruan

Setiap profesion dalam pekerjaan mempunyai kod etika tersendiri dan kod etika ini juga tergolong dalam profesion guru. Setiap guru hendaklah mematuhi kod etika masing-masing demi menjaga martabat, akhlak dan maruah profesion perguruannya. Di Malaysia, “Kod Etika Profesionalisme Perguruan” yang disyorkan oleh Kementerian Pelajaran adalah panduan kepada setiap guru untuk mengekalkan imej profesionalnya. Profesionalisme seseorang guru berkait rapat dengan mutu pendidikan dari beberapa segi seperti sikap dan nilai guru dalam pengajaran yang akan mempengaruhi minat, sikap dan nilai pelajar. Menurut perspektif agama, kedudukan seorang guru adalah setaraf dan semulia dengan pemimpin negara dan tugas mendidik ahli masyarakat merupakan satu ibadah yang dituntut.

Antara pelaksanaan kod etika profesionalisme perguruan ialah guru perlu ada kelayakan akademik yang selayaknya untuk menjadi seorang pendidik. Guru perlu mempunyai pengetahuan atau kemahiran melalui pembelajaran teori dan latihan amali dalam sesuatu tempoh masa yang panjang untuk menjadi seorang guru yang bertauliah. Guru hendaklah memperoleh sijil perguruan atau diploma pendidikan dan ijazah sarjana muda perguruan yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Guru harus mengikuti kursus-kursus latihan pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah samada sebelum atau semasa berkhidmat sebagai seorang guru. 

Guru juga harus memahami kaedah pengajaran, dan perlu melakukan kajian yang mendalam tentang mata pelajaran yang akan diajar. Pengetahuan berkaitan isi kandungan mata pelajaran yang diajar oleh guru hendaklah terlebih dahulu melebihi keperluan pendidikan arus perdana supaya seiring dengan keperluan dan kemahiran abad ke-21. 

Guru hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Mereka mesti mengambil langkah pertama iaitu dengan menguasai isi kandungan mata pelajaran yang diajar, menyesuaikan kaedah pengajaran secara aktif, menambah baik kaedah pengajaran serta meningkatkan pengetahuan berkaitan tajuk untuk memudahkan pelajar memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru.

Profesion keguruan merupakan profesion amat terpuji dan mulia di kaca mata masyarakat. Menurut Mohd Fadzly (2011), fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Hal ini kerana guru bukan sahaja mengajar subjek tertentu di dalam kelas malah mereka merupakan ejen kepada perubahan minda masyarakat. Oleh itu, kecemerlangan pelaksanaan profesion keguruan dapat juga dilihat melalui akhlak dan sahsiah seorang guru. 

Guru harus bertindak secara matang untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi tanpa bertindak mengikut emosi. Seorang guru juga haruslah pandai mengawal emosi diri dan perlu menghindarkan diri dari sebarang ketegangan jiwa yang boleh mengganggu tugasnya. Seseorang guru perlulah menjaga tingkah laku dan mempunyai sifat kesabaran yang tinggi, bermurah hati dan tenang dalam mengawal sesuatu keadaan luar jangka. Dalam masa yang sama, seseorang guru seharusnya bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menggalas tanggungjawab menjadi pengganti ibubapa juga menjadi penasihat dan pebimbing dalam membentuk sahsiah dan akhlak murid.

 


Cabaran Pelaksanaan Kod Etika Profesionalisme Keguruan

Profesion sebagai guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah menjadi seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Dalam mengharungi proses dan sistem pendidikan, seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan konteks tugasannya dalam mendidik.

Seseorang guru menghadapi cabaran dalam menyesuaikan diri dalam perkembangan era globalisasi terutamanya dalam penggunaan alatan yang semakin canggih dalam sesi pengajaran. Bertitik tolak daripada itu, guru-guru pada masa kini perlu memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang setaraf dengan perkembangan era globalisasi yang dihadapi. 

Jika masa dahulu, pembelajaran dan pengajaran berlaku di bilik darjah dan bilik kuliah bertemankan papan hitam dan kapur atau pen marker, namun kini guru terpaksa mempelajari teknik-teknik terbaru serta alat bantuan mengajar yang lebih canggih

Para guru kini perlu pandai dan perlu bijak menggunakan teknologi yang ada bagi disesuaikan dengan pengajaran dalam kelas. Guru tidak boleh bersikap tradisional dalam menyampaikan ilmu kerana generasi IT tidak sama dengan generasi papan hitam dan kapur pada masa dahulu. Dalam hal ini guru kini perlu mempersiapkan diri dengan kaedah pengajaran menggunakan teknologi terkini yang lebih cepat, efektif dan yang paling penting ia perlu berjaya menarik minat pelajar untuk belajar. Segala kaedah terkini mengenai pembelajaran secara dalam talian umpamanya perlu dipraktikkan. 

Selain itu, menjadi guru pada masa kini memerlukan seseorang yang tinggi ilmunya. Ini bermakna seseorang guru tidak boleh berpuas hati dengan tahap pendidikan yang dimiliki kini. Justeru itu, dapat dilihat ada antara guru-guru yang dihantar oleh jabatan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Jika sebelum ini mereka memiliki diploma, maka mereka perlu menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan jika sebelum ini mereka guru lulusan ijazah maka mereka akan dinasihatkan untuk sambung belajar ke peringkat sarjana. Bagi menyahut seruan tersebut ada antara guru yang menyambung pelajaran secara sepenuh masa dan separuh masa. Cabaran sangat besar jika seseorang guru itu belajar sambil bekerja kerana mereka perlu bijak menguruskan masa untuk bekerja, belajar, keluarga dan juga urusan kewangan.






 

 

 

No comments:

Post a Comment

by Nur Adlina binti Abdullah Zohdi

  Hubungkait Kerjaya Guru dan Amalan Kod Etika Profesionalisme di Malaysia. Pengertian Kerjaya Guru   Guru merupakan tenaga pengajar...