Thursday, July 14, 2022

by Nur Adlina binti Abdullah Zohdi

 

Hubungkait Kerjaya Guru dan Amalan Kod Etika Profesionalisme di Malaysia.




Pengertian Kerjaya Guru

 

Guru merupakan tenaga pengajar dalam institusi Pendidikan seperti sekolah atau tuisyen. Perkataan guru cenderung digunakan bagi merujuk suatu jawatan pendidik yang memberi ilmu, sementara kata cikgu mempunyai maksud yang sama dengan guru namun ianya lebih cenderung digunakan untuk panggilan seseorang yang menyandang jawatan guru. Dalam zaman moden ini, guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang misalnya pengurusan guru merujuk kepada seorang yang menyandang jawatan guru. Guru ibarat ibubapa di sekolah. Kerjaya guru adalah satu tugas yang amat berat tetapi mulia dan murni. Kerjaya guru cukup diberi perhatian oleh Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan. Kerjaya sebagai guru membuka peluang yang begitu luas. Semakin meningkat jumlah penduduk, maka semakin banyak guru diperlukan tidak kira di bandar raya, bandar mahupun diluar bandar.

 

Pengertian Kod Etika Profesionalisme Keguruan

Perkataan Etika berasal dari Bahasa Yunani iaitu “ethos” yang bererti watak kesusilaan atau adat kebiasaan. Pengertian tentang etika lazimnya disama ertikan dengan moral dan akhlak. Perkataan moral berasal dari Bahasa Latin iaitu ‘mos’ atau ‘mores’ yang bermaksud adat kebiasaan atau cara hidup seseorang dengan mengamalkan perbuatan yang baik. Manakala akhlak dari Bahasa Arab yang bermaksud sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinya terbentuklah perbuatan yang menjadi amalan (al-Ghazali). Maksud yang biasa digunakan ialah satu peraturan yang menjadi panduan hidup manusia. Ia berkaitan dengan tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek-aspek niat dan kecenderungan seseorang atau masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti.

 

Hubungkait Kerjaya Guru dan amalan kod etika profesionalisme di Malaysia

Terdapat empat Komponen utama kod etika profesionalisme di Malaysia yang sangat berhubungkait dengan kerjaya guru. 


Komponen yang pertama adalah tanggungjawab guru terhadap murid dimana para guru perlu lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid lebih daripada hal peribadi. Para guru juga perlu bersikap adil terhadap murid tanpa mengira faktor jasmani, mental. Emosi, politik, ekonomi, sosial dan agama serta memelihara dan memperbaiki tahap kecekapan ikhtisas menerusi penyelidikan, lawatan, menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, seminar atau mesyuarat supaya pengajaran mencapai kualiti yang tinggi.


Komponen ini sangat berkait dengan prinsip etika kerja yang perlu dimiliki oleh para guru iaitu prinsip perlakuan yang baik dimana para guru perlu mempunyai tingkah laku yang baik bagi menjalankan tugas dengan sempurna untuk mencapai hasil yang berkualiti disamping membaiki imej profesion. Perlakuan yang baik tersebut termasuklah dari segi penampilan diri, pertuturan dan tindakan yang mesti dijaga dengan baik sepanjang masa.

Komponen kod etika profesioalisme yang seterusnya iaitu tanggungjawab guru terhadap ibubapa. Para guru mestilah menghormati tanggungjawab utama ibubapa terhadap anak-anak mereka serta berusaha mewujudkan hubungan mesra dan Kerjasama erat antara institusi Pendidikan dengan rumah tangga dan menganggap semua maklumat yang diberi ibubapa tentang anak mereka adalah sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali yang berhak mengetahuinya. Guru juga perlu mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid terhadap ibubapa atau penjaga. Setiap guru mestilah melaksanakan tugas dengan betul sebagaimana yang dituntut oleh agama dan selaras dengan nilai etika kerja yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, tanggungjawab guru terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan merupakan komponen kod etika profesionalisme yang sangat berkait dengan prinsip etika kerjaya guru iaitu disiplin dan beradab. Komponen ini menekankan bahawa setiap guru perlu berusaha menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh serta sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial disamping sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar kepada rakan sejawat terutama mereka yang baru menceburi profesion keguruan. Setiap guru juga perlu sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion keguruan seseorang guru dan mestilah menjaga disiplin, adab sopan dan akhlak agar menjadi contoh kepada setiap murid sebagaimana yang dituntut oleh agama sejajar debgan prinsip etika disiplin dan beradab yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Komponen kod etika yang terakhir adalah tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Guru hendaklah bertingkah laku dan menjalankan tanggungjawabnya dengan mengambil kira keperluan masyarakat dan negara. Maka dengan itu guru hendaklah elakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat, negara atau bertentangan Rukun Negara. Para guru juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk murid-murid dengan sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang yang lebih tua serta menghormati adanya perbezaan, kebudayaan, keturunan dan agama. Daripada ini, dapat kita perhatikan bahawa komponen ini sangat berkait dengan prinsip etika kerja iaitu penggerak kearah pembaikan dimana seorang guru mestilah menampilkan diri sebagai seorang dinamik, progresif, maju, berdaya saing dan dapat mendorong seseorang melakukan kebaikan.

Kesimpulannya, perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan insan manusia yang sempurna agar manusia yang sempurna itu faham tentang peranan dan tanggungjawab mereka terhadap diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru memainkan peranan yang cukup penting dalam menyebarkan ilmu kepada anak-anak muridnya. Guru boleh menjadi model kepada anak-anak muridnya. Oleh itu, guru perlu mempunyai sifat dan kualiti peribadi professional dan sosial yang baik. Dengan kualiti peribadi yang tinggi, guru akan berjaya menjalankan tugasnya dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment

by Nur Adlina binti Abdullah Zohdi

  Hubungkait Kerjaya Guru dan Amalan Kod Etika Profesionalisme di Malaysia. Pengertian Kerjaya Guru   Guru merupakan tenaga pengajar...