Thursday, July 14, 2022

by Nur Adlina binti Abdullah Zohdi

 

Hubungkait Kerjaya Guru dan Amalan Kod Etika Profesionalisme di Malaysia.




Pengertian Kerjaya Guru

 

Guru merupakan tenaga pengajar dalam institusi Pendidikan seperti sekolah atau tuisyen. Perkataan guru cenderung digunakan bagi merujuk suatu jawatan pendidik yang memberi ilmu, sementara kata cikgu mempunyai maksud yang sama dengan guru namun ianya lebih cenderung digunakan untuk panggilan seseorang yang menyandang jawatan guru. Dalam zaman moden ini, guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang misalnya pengurusan guru merujuk kepada seorang yang menyandang jawatan guru. Guru ibarat ibubapa di sekolah. Kerjaya guru adalah satu tugas yang amat berat tetapi mulia dan murni. Kerjaya guru cukup diberi perhatian oleh Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan. Kerjaya sebagai guru membuka peluang yang begitu luas. Semakin meningkat jumlah penduduk, maka semakin banyak guru diperlukan tidak kira di bandar raya, bandar mahupun diluar bandar.

 

Pengertian Kod Etika Profesionalisme Keguruan

Perkataan Etika berasal dari Bahasa Yunani iaitu “ethos” yang bererti watak kesusilaan atau adat kebiasaan. Pengertian tentang etika lazimnya disama ertikan dengan moral dan akhlak. Perkataan moral berasal dari Bahasa Latin iaitu ‘mos’ atau ‘mores’ yang bermaksud adat kebiasaan atau cara hidup seseorang dengan mengamalkan perbuatan yang baik. Manakala akhlak dari Bahasa Arab yang bermaksud sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinya terbentuklah perbuatan yang menjadi amalan (al-Ghazali). Maksud yang biasa digunakan ialah satu peraturan yang menjadi panduan hidup manusia. Ia berkaitan dengan tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek-aspek niat dan kecenderungan seseorang atau masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti.

 

Hubungkait Kerjaya Guru dan amalan kod etika profesionalisme di Malaysia

Terdapat empat Komponen utama kod etika profesionalisme di Malaysia yang sangat berhubungkait dengan kerjaya guru. 


Komponen yang pertama adalah tanggungjawab guru terhadap murid dimana para guru perlu lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid lebih daripada hal peribadi. Para guru juga perlu bersikap adil terhadap murid tanpa mengira faktor jasmani, mental. Emosi, politik, ekonomi, sosial dan agama serta memelihara dan memperbaiki tahap kecekapan ikhtisas menerusi penyelidikan, lawatan, menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, seminar atau mesyuarat supaya pengajaran mencapai kualiti yang tinggi.


Komponen ini sangat berkait dengan prinsip etika kerja yang perlu dimiliki oleh para guru iaitu prinsip perlakuan yang baik dimana para guru perlu mempunyai tingkah laku yang baik bagi menjalankan tugas dengan sempurna untuk mencapai hasil yang berkualiti disamping membaiki imej profesion. Perlakuan yang baik tersebut termasuklah dari segi penampilan diri, pertuturan dan tindakan yang mesti dijaga dengan baik sepanjang masa.

Komponen kod etika profesioalisme yang seterusnya iaitu tanggungjawab guru terhadap ibubapa. Para guru mestilah menghormati tanggungjawab utama ibubapa terhadap anak-anak mereka serta berusaha mewujudkan hubungan mesra dan Kerjasama erat antara institusi Pendidikan dengan rumah tangga dan menganggap semua maklumat yang diberi ibubapa tentang anak mereka adalah sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali yang berhak mengetahuinya. Guru juga perlu mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid terhadap ibubapa atau penjaga. Setiap guru mestilah melaksanakan tugas dengan betul sebagaimana yang dituntut oleh agama dan selaras dengan nilai etika kerja yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, tanggungjawab guru terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan merupakan komponen kod etika profesionalisme yang sangat berkait dengan prinsip etika kerjaya guru iaitu disiplin dan beradab. Komponen ini menekankan bahawa setiap guru perlu berusaha menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh serta sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial disamping sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar kepada rakan sejawat terutama mereka yang baru menceburi profesion keguruan. Setiap guru juga perlu sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion keguruan seseorang guru dan mestilah menjaga disiplin, adab sopan dan akhlak agar menjadi contoh kepada setiap murid sebagaimana yang dituntut oleh agama sejajar debgan prinsip etika disiplin dan beradab yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Komponen kod etika yang terakhir adalah tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Guru hendaklah bertingkah laku dan menjalankan tanggungjawabnya dengan mengambil kira keperluan masyarakat dan negara. Maka dengan itu guru hendaklah elakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat, negara atau bertentangan Rukun Negara. Para guru juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk murid-murid dengan sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang yang lebih tua serta menghormati adanya perbezaan, kebudayaan, keturunan dan agama. Daripada ini, dapat kita perhatikan bahawa komponen ini sangat berkait dengan prinsip etika kerja iaitu penggerak kearah pembaikan dimana seorang guru mestilah menampilkan diri sebagai seorang dinamik, progresif, maju, berdaya saing dan dapat mendorong seseorang melakukan kebaikan.

Kesimpulannya, perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan insan manusia yang sempurna agar manusia yang sempurna itu faham tentang peranan dan tanggungjawab mereka terhadap diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru memainkan peranan yang cukup penting dalam menyebarkan ilmu kepada anak-anak muridnya. Guru boleh menjadi model kepada anak-anak muridnya. Oleh itu, guru perlu mempunyai sifat dan kualiti peribadi professional dan sosial yang baik. Dengan kualiti peribadi yang tinggi, guru akan berjaya menjalankan tugasnya dengan sempurna.

by Nor Ainun binti Mohd Nasir

 Pelaksanaan Kod Etika Profesionalisme Keguruan dan cabaran di Malaysia



Pelaksanaan Kod Etika Profesionalisme Keguruan

Setiap profesion dalam pekerjaan mempunyai kod etika tersendiri dan kod etika ini juga tergolong dalam profesion guru. Setiap guru hendaklah mematuhi kod etika masing-masing demi menjaga martabat, akhlak dan maruah profesion perguruannya. Di Malaysia, “Kod Etika Profesionalisme Perguruan” yang disyorkan oleh Kementerian Pelajaran adalah panduan kepada setiap guru untuk mengekalkan imej profesionalnya. Profesionalisme seseorang guru berkait rapat dengan mutu pendidikan dari beberapa segi seperti sikap dan nilai guru dalam pengajaran yang akan mempengaruhi minat, sikap dan nilai pelajar. Menurut perspektif agama, kedudukan seorang guru adalah setaraf dan semulia dengan pemimpin negara dan tugas mendidik ahli masyarakat merupakan satu ibadah yang dituntut.

Antara pelaksanaan kod etika profesionalisme perguruan ialah guru perlu ada kelayakan akademik yang selayaknya untuk menjadi seorang pendidik. Guru perlu mempunyai pengetahuan atau kemahiran melalui pembelajaran teori dan latihan amali dalam sesuatu tempoh masa yang panjang untuk menjadi seorang guru yang bertauliah. Guru hendaklah memperoleh sijil perguruan atau diploma pendidikan dan ijazah sarjana muda perguruan yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Guru harus mengikuti kursus-kursus latihan pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah samada sebelum atau semasa berkhidmat sebagai seorang guru. 

Guru juga harus memahami kaedah pengajaran, dan perlu melakukan kajian yang mendalam tentang mata pelajaran yang akan diajar. Pengetahuan berkaitan isi kandungan mata pelajaran yang diajar oleh guru hendaklah terlebih dahulu melebihi keperluan pendidikan arus perdana supaya seiring dengan keperluan dan kemahiran abad ke-21. 

Guru hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Mereka mesti mengambil langkah pertama iaitu dengan menguasai isi kandungan mata pelajaran yang diajar, menyesuaikan kaedah pengajaran secara aktif, menambah baik kaedah pengajaran serta meningkatkan pengetahuan berkaitan tajuk untuk memudahkan pelajar memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru.

Profesion keguruan merupakan profesion amat terpuji dan mulia di kaca mata masyarakat. Menurut Mohd Fadzly (2011), fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Hal ini kerana guru bukan sahaja mengajar subjek tertentu di dalam kelas malah mereka merupakan ejen kepada perubahan minda masyarakat. Oleh itu, kecemerlangan pelaksanaan profesion keguruan dapat juga dilihat melalui akhlak dan sahsiah seorang guru. 

Guru harus bertindak secara matang untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi tanpa bertindak mengikut emosi. Seorang guru juga haruslah pandai mengawal emosi diri dan perlu menghindarkan diri dari sebarang ketegangan jiwa yang boleh mengganggu tugasnya. Seseorang guru perlulah menjaga tingkah laku dan mempunyai sifat kesabaran yang tinggi, bermurah hati dan tenang dalam mengawal sesuatu keadaan luar jangka. Dalam masa yang sama, seseorang guru seharusnya bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menggalas tanggungjawab menjadi pengganti ibubapa juga menjadi penasihat dan pebimbing dalam membentuk sahsiah dan akhlak murid.

 


Cabaran Pelaksanaan Kod Etika Profesionalisme Keguruan

Profesion sebagai guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah menjadi seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Dalam mengharungi proses dan sistem pendidikan, seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan konteks tugasannya dalam mendidik.

Seseorang guru menghadapi cabaran dalam menyesuaikan diri dalam perkembangan era globalisasi terutamanya dalam penggunaan alatan yang semakin canggih dalam sesi pengajaran. Bertitik tolak daripada itu, guru-guru pada masa kini perlu memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang setaraf dengan perkembangan era globalisasi yang dihadapi. 

Jika masa dahulu, pembelajaran dan pengajaran berlaku di bilik darjah dan bilik kuliah bertemankan papan hitam dan kapur atau pen marker, namun kini guru terpaksa mempelajari teknik-teknik terbaru serta alat bantuan mengajar yang lebih canggih

Para guru kini perlu pandai dan perlu bijak menggunakan teknologi yang ada bagi disesuaikan dengan pengajaran dalam kelas. Guru tidak boleh bersikap tradisional dalam menyampaikan ilmu kerana generasi IT tidak sama dengan generasi papan hitam dan kapur pada masa dahulu. Dalam hal ini guru kini perlu mempersiapkan diri dengan kaedah pengajaran menggunakan teknologi terkini yang lebih cepat, efektif dan yang paling penting ia perlu berjaya menarik minat pelajar untuk belajar. Segala kaedah terkini mengenai pembelajaran secara dalam talian umpamanya perlu dipraktikkan. 

Selain itu, menjadi guru pada masa kini memerlukan seseorang yang tinggi ilmunya. Ini bermakna seseorang guru tidak boleh berpuas hati dengan tahap pendidikan yang dimiliki kini. Justeru itu, dapat dilihat ada antara guru-guru yang dihantar oleh jabatan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Jika sebelum ini mereka memiliki diploma, maka mereka perlu menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan jika sebelum ini mereka guru lulusan ijazah maka mereka akan dinasihatkan untuk sambung belajar ke peringkat sarjana. Bagi menyahut seruan tersebut ada antara guru yang menyambung pelajaran secara sepenuh masa dan separuh masa. Cabaran sangat besar jika seseorang guru itu belajar sambil bekerja kerana mereka perlu bijak menguruskan masa untuk bekerja, belajar, keluarga dan juga urusan kewangan.






 

 

 

by Fathiyah binti Mohd Shah

PELAKSANAAN PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG PENDIDIKAN DALAM AMALAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA





 

Pengertian peraturan dan undang-undang Pendidikan

Pengertian Peraturan Pendidikan

֍ Perbuatan tentang moral yang menjamin keadilan.

֍ Satu bentuk kawalan ke atas semua penjawat awam untuk menjamin kesejahteraan hidup.

֍ Peraturan merupakan syarat yang perlu dipatuhi oleh sesebuah organisasi bagi mengelak berlakunya masalah.

 

Peraturan Pendidikan/ Peraturan Guru

1)    Akta Pendidikan 1996

♦ Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

♦ Dikenali juga Akta 550 sebagai rujukan dalam pelaksanaan tanggungjawab warga pendidik agar sentiasa berada di landasan yang betul.

 

 

     2)    Pekeliling Iktisas

♦ Warta kerajaan yang dikeluarkan dan diedarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dari semasa ke semasa.

♦ Merupakan satu arahan dan garis panduan dalam pelaksanaan suatu tugasan dan perkhidmatan.

 

     3)    Undang-undang Sivil dan Syariah

♦ Undang-undang Syariah merupakan hukum perundangan Islam daripada Allah s.w.t. bagi umatNya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah termasuklah kesalahan yang berkaitan dengan hubungan tidak sah seperti khalwat dan persetubuhan haram.

♦ Undang-undang Sivil pula merupakan sekumpulan undang-undang yang mengawal hak dan tanggungan (liabiliti) sivil antara individu dengan individu, individu dengan masyarakat dan masyarakat dengan individu.

 

     4)    Perintah Am (Kelakuan dan Tetatertib)

♦ Peraturan-peraturan pegawai awam yang mencakupi kewajipan kepada pegawai awam agar mematuhi peraturan, kawalan dan pengawasan tatatertib.

♦ Disenaraikan kesalahan dan ketidakpatuhan terhadap prosedur tatatertib yang boleh disabitkan dengan hukuman tatatertib dan penamatan perkhidmatan demi kepentingan awam.

 

 

Pengertian Undang-undang Pendidikan

֍ Semua peraturan yang berkaitan tingkah laku yang dibentuk mengikut autoriti atau adat sesuatu kaum.

֍ Undang-undang yang telah digubal oleh sesebuah badan pengubalan undang-undang yang bertujuan melindungi hak individu dan kebebasan tertentu.

֍ Undang-undang yang digubal bagi memelihara hak individu tertentu.

 

Perbezaan Peraturan Pendidikan Dan Undang-Undang Pendidikan

Kategori/ Perkara

Peraturan Pendidikan

Undang-undang Pendidikan

Persamaan

  I.   Dokumen bertulis.

  II.  Panduan dalam kehidupan.

  III. Panduan sekiranya berlaku masalah.

  IV. Peraturan disahkan sebelum digunakan.

  V.  Kaedah pembuatan hukuman adalah sama.

  VI. Memastikan pendidikan Malaysia berkembang.

Berbezaan

Peraturan Pendidikan

Undang-undang Pendidikan

 ► Maksud

Peraturan pendidikan lebih kepada menjaga sistem pendidikan supaya dapat menghasilkan insan yang dihasratkan.

Perundangan yang di gubal untuk memastikan para guru dan pegawai Pendidikan menjalankan tugas dengan betul dan tidak menyalahgunakan kuasa.

 ► Tujuan

Mendisiplinkan individu serta amanah dalam pekerjaan.

Menjaga hak individu.

 ► Kepentingan

Mewujudkan sistem tadbir urus yang cekap dan berkualiti.

Supaya tiada yang melampau dalam bidang kuasa.

 ► Contoh

Perintah Am Peraturan 4 Bab D.

Akta Pendidikan 1996.

 ► Kesan

Mewujudkan sekolah yang selamat.

Menjamin keselamatan pendidik dan pelajar.

 ► Pendidikan Guru

Memastikan guru mengambil tindakan yang sewajarnya.

Perundangan ini telah menghadkan dan menyediakan garis panduan kepada guru dalam memberi hukuman.

 

Tujuan Pelaksanaan Peraturan-Peraturan Pendidikan

Tujuan

Keterangan

Pencegahan

  Mencegah guru-guru atau pegawai Pendidikan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh memburukkan imej institusi Pendidikan dan penyalahgunaan kuasa.

♦ Mengelakkan dari berlakunya amalan-amalan yang melanggar peraturan-peraturan tersebut.

 Contoh: surat pekeliling, memo pemberitahuan dan papan tanda amaran.

Peringatan

♦ Memastikan guru-guru serta pegawai pendidikan sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

♦ Memberi peringatan kepada guru-guru serta pegawai pendidikan terhadap akibat dan hukuman sekiranya tidak mematuhi peraturan.

♦ Mengingatkan guru-guru serta pegawai Pendidikan agar sentiasa berwaspada dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

♦ Contoh: amaran lisan/ bertulis, surat tunjuk sebab

Pengajaran

 Memberikan pengajaran kepada guru-guru serta pegawai Pendidikan melalui kes-kes yang lepas serta hukuman yang dikenakan untuk setiap kesalahan yang dilakukan.

♦ Tindakan yang dikenakan untuk dijadikan iktibar dan panduan kepada pegawai yang terlibat dan pihak-pihak lain agar perkara yang sama tidak berulang.

♦ Contoh: hukuman diturunkan pangkat dan ditukar tempat kerja.

 

Kesimpulan

          Peraturan dan undang-undang perlu diketahui dan diamalkan dalam Pendidikan. Peraturan dan undang-undang merupakan 'guidelines' bagi memastikan pegawai pendidikan dan guru-guru melaksanakan tugas dengan betul dan mengelak yang tidak sepatutnya daripada berlaku.

            Peraturan dan undang-undang juga penting untuk merealisakan Falsafah Pendidikan. Falsafah Pendidikan Guru telah menyatakan ciri-ciri guru yang dihasratkan oleh Malaysia iaitu berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung aspirasi kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

              Selain itu, peraturan-peraturan dan undang-undang pendidikan dibentuk untuk memastikan pendidikan di Malaysia berkembang maju yang dapat menandingi pendidikan di negara-negara maju. Bagi memastikan pelaksanaan pendidikan yang berkesan, guru-guru perlu faham dan sedar bahawa tanggungjawab seorang guru sangat besar dan peranan dan sumbangan guru menentukan masa depan negara.


by Nur Adlina binti Abdullah Zohdi

  Hubungkait Kerjaya Guru dan Amalan Kod Etika Profesionalisme di Malaysia. Pengertian Kerjaya Guru   Guru merupakan tenaga pengajar...