Hubungkait Kerjaya Guru dan Amalan Kod Etika Profesionalisme di Malaysia.
Pengertian Kerjaya
Guru
Guru
merupakan tenaga pengajar dalam institusi Pendidikan seperti sekolah atau
tuisyen. Perkataan guru cenderung
digunakan bagi merujuk suatu jawatan pendidik
yang memberi ilmu,
sementara kata cikgu mempunyai maksud yang sama dengan guru namun ianya lebih cenderung digunakan untuk panggilan
seseorang yang menyandang jawatan guru. Dalam
zaman moden ini, guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk
seseorang yang pakar dalam sesuatu
bidang misalnya pengurusan guru merujuk kepada seorang yang menyandang jawatan guru. Guru ibarat ibubapa di
sekolah. Kerjaya guru adalah satu tugas yang amat berat tetapi mulia dan murni. Kerjaya
guru cukup diberi perhatian oleh Kerajaan melalui
Kementerian Pendidikan. Kerjaya sebagai guru membuka peluang yang begitu
luas. Semakin meningkat jumlah
penduduk, maka semakin
banyak guru diperlukan tidak kira di bandar raya, bandar mahupun diluar bandar.
Pengertian Kod Etika Profesionalisme Keguruan
Perkataan
Etika berasal dari Bahasa Yunani iaitu “ethos” yang bererti watak kesusilaan
atau adat kebiasaan. Pengertian
tentang etika lazimnya disama ertikan dengan moral dan akhlak. Perkataan moral berasal dari Bahasa Latin
iaitu ‘mos’ atau ‘mores’ yang bermaksud adat
kebiasaan atau cara hidup seseorang dengan mengamalkan perbuatan yang baik.
Manakala akhlak dari Bahasa Arab yang
bermaksud sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinya terbentuklah perbuatan yang menjadi
amalan (al-Ghazali). Maksud
yang biasa digunakan ialah satu peraturan
yang menjadi panduan hidup manusia. Ia berkaitan dengan tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek-aspek niat dan
kecenderungan seseorang atau masyarakat dalam
melakukan sesuatu aktiviti.
Hubungkait Kerjaya Guru dan amalan kod etika profesionalisme di Malaysia
Terdapat empat Komponen utama kod etika profesionalisme di Malaysia yang sangat berhubungkait dengan kerjaya guru.
Komponen yang pertama adalah tanggungjawab guru terhadap murid dimana para guru perlu lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid lebih daripada hal peribadi. Para guru juga perlu bersikap adil terhadap murid tanpa mengira faktor jasmani, mental. Emosi, politik, ekonomi, sosial dan agama serta memelihara dan memperbaiki tahap kecekapan ikhtisas menerusi penyelidikan, lawatan, menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, seminar atau mesyuarat supaya pengajaran mencapai kualiti yang tinggi.
Komponen ini sangat berkait dengan prinsip
etika kerja yang perlu dimiliki
oleh para guru iaitu prinsip perlakuan yang baik dimana para
guru perlu mempunyai tingkah laku yang baik bagi menjalankan tugas dengan sempurna untuk mencapai hasil yang berkualiti disamping membaiki imej profesion. Perlakuan yang baik tersebut
termasuklah dari segi penampilan diri,
pertuturan dan tindakan yang mesti dijaga dengan baik sepanjang masa.
Komponen kod etika profesioalisme yang seterusnya iaitu tanggungjawab guru terhadap ibubapa. Para guru mestilah menghormati tanggungjawab utama
ibubapa terhadap anak-anak mereka
serta berusaha mewujudkan hubungan mesra dan Kerjasama erat antara institusi Pendidikan dengan rumah tangga dan
menganggap semua maklumat yang diberi ibubapa
tentang anak mereka adalah
sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali
yang berhak mengetahuinya.
Guru juga perlu mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh
menjejaskan kepercayaan murid terhadap ibubapa atau penjaga. Setiap guru mestilah melaksanakan tugas dengan betul
sebagaimana yang dituntut oleh agama
dan selaras dengan nilai etika kerja yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selain
itu, tanggungjawab guru terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan merupakan komponen kod etika profesionalisme yang
sangat berkait dengan prinsip etika kerjaya guru iaitu disiplin dan beradab. Komponen ini menekankan bahawa
setiap guru perlu berusaha menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh serta sejajar dengan kemajuan
ikhtisas dan sosial disamping sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar kepada
rakan sejawat terutama mereka yang
baru menceburi profesion keguruan. Setiap guru juga perlu sentiasa mengawasi diri supaya tidak
mencemarkan nama baik profesion keguruan seseorang guru dan mestilah
menjaga disiplin, adab sopan dan akhlak agar menjadi contoh kepada
setiap murid sebagaimana yang dituntut
oleh agama sejajar
debgan prinsip etika disiplin dan beradab yang
ditekankan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Komponen kod etika yang terakhir adalah tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Guru hendaklah bertingkah laku dan menjalankan tanggungjawabnya dengan mengambil kira keperluan masyarakat dan negara. Maka dengan itu guru hendaklah elakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat, negara atau bertentangan Rukun Negara. Para guru juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk murid-murid dengan sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang yang lebih tua serta menghormati adanya perbezaan, kebudayaan, keturunan dan agama. Daripada ini, dapat kita perhatikan bahawa komponen ini sangat berkait dengan prinsip etika kerja iaitu penggerak kearah pembaikan dimana seorang guru mestilah menampilkan diri sebagai seorang dinamik, progresif, maju, berdaya saing dan dapat mendorong seseorang melakukan kebaikan.
Kesimpulannya,
perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan insan manusia
yang sempurna agar manusia yang sempurna itu faham tentang
peranan dan tanggungjawab mereka terhadap diri mereka
sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru
memainkan peranan yang cukup penting
dalam menyebarkan ilmu kepada anak-anak
muridnya. Guru boleh menjadi model
kepada anak-anak muridnya. Oleh itu, guru perlu mempunyai sifat dan kualiti peribadi
professional dan sosial
yang baik. Dengan
kualiti peribadi yang tinggi,
guru akan berjaya menjalankan
tugasnya dengan sempurna.